MAJLIS MENANDATANGANI DAN PENYERAHAN WATIKAH PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 2013

Kota Bharu, 18 NOVEMBER 2013 - Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangan Dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2013. Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.

Terdahulu menyambut kehadiran tetamu kehormat ialah Encik Mohd Razis Bin Md Said, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dan Encik Zainal Abidin Che Pa, Pengarah Bahagian Pemuliharaan Kraftangan Malaysia (Ibu Pejabat).

Pada majlis ini, seorang usahawan kraf Sulaman Kelingkam dari Negeri Kelantan diberikan penghormatan dan dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2013 iaitu Nik Rahimah Binti Nik Idris. Beliau merupakan seorang usahawan kraf dari Kubang Pasu, Kota Bharu yang sudah 57 tahun bergiat aktif dalam Sulaman Kelingkam.

Bagi tahun 2013, seramai 3 orang usahawan kraf akan dilantik sebagai Adiguru Kraf, di mana pada 4 November 2013 yang lalu telah diadakan Majlis Pelantikan Adiguru Kraf Tembikar (Labu Sayong) di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Manakala satu lagi majlis pelantikan Adiguru Kraf Pembuatan Bot Tradisional telah diadakan pada 12 November 2013 di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu. Ketiga-tiga Perlantikan Adiguru Kraf ini akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 - 31 Disember 2018.
  
Perlantikan Adiguru Kraf diberikan kepada usahawan kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara.

Bagi tujuan tersebut, Adiguru Kraf yang dilantik akan memainkan peranan menjadi sebagai pakar rujuk, tenaga pengajar kepada Kraftangan Malaysia dengan mencurahkan pengalaman dan kepakaran masing-masing kepada kumpulan pelapis.


Melalui perlaksanaan Skim Adiguru Kraf ini, setiap Adiguru Kraf yang dilantik akan menerima ganjaran berbentuk watikah penghargaan, wang tunai berjumlah RM5,000.00 dan elaun bulanan RM500.00 sebulan.
Proses Menandatangan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf
Penyerahan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf
Sidang Media bersama Adiguru Kraf
Demonstrasi Sulaman Kelingkam oleh Adiguru Kraf

0 Komen:

Catat Ulasan