BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TEKATAN BENANG EMAS



Adiguru Hajah Azizah Binti Mohd Yusof

Bandar Diraja Kuala Kangsar, amat sinonim dengan seni tekatan benang emasnya. Di sinilah menetapnya tokoh tekatan yang disegani iaitu Puan Hajah Azizah Mohd Yusof. Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan di Sekolah Perempuan Methodist sehingga darjah enam. Lahir di kalangan keluarga yang mahir menekat. Ibu dan nenek beliau merupakan tukang tekat terkenal di daerah Kuala Kangsar ketika itu dan sering menerima tempahan dan di sinilah bermulanya kerjaya beliau sebagai tukang tekat.

Hasil kerja tangan beliau yang sering mendapat perhatian adalah peralatan dan kelengkapan perkahwinan seperti cadar, sarung bantal, hiasan kelambu, lemudi, hiasan pelamin, pakaian pengantin serta cenderamata lainnya.


Beliau sering dijemput bagi mengadakan pameran dan demonstrasi sama ada di dalam atau di luar negara. Pada tahun 1984 Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membawa beliau ke Tokyo, Jepun untuk mempamerkan dan mempromosi tekatan benang emas. Manakala pada tahun 1985 beliau menjadi johan pertandingan menekat benang emas yang dianjurkan oleh PUSPANITA Kuala Kangsar.


Bagi memastikan seni warisan ini terus berkembang, beliau memberi tunjuk ajar kepada kumpulan pelapis dari seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, KEMAS dan Kraf tangan Malaysia.
Kraf tangan Malaysia memberi pengiktirafan kepada beliau sebagai ADIGURU KRAF TEKATAN pada tahun 1995 bagi menghargai jasa dan sumbangannya terhadap perkembangan seni warisan tekatan.

Tekatan

Seni tekatan diperkenalkan di negara ini pada era kegemilangan pemerintahan Melaka sekitar abad ke 15 Masihi. Dipercayai seni sulaman benang emas ini menerima pengaruh dari India dan China. Manakala ragam hiasnya pula dikatakan mirip seni hiasan eksklusif orang Arab dahulu kala. Seni ini amat terkenal terutama di Perak dan Selangor.


Benang emas disulam atau ditekat di atas kain baldu. Setiap ragam hias diisi dengan mempulur yang diperbuat daripada rotan sega atau kertas keras untuk menampakkan kesan timbul pada tekatan tersebut. Ilham cipta dalam menghasilkan ragam hias tekatan dipengaruhi unsur-unsur geometrik dan awan larat. Tekatan benang emas mendapat tempat istimewa dalam masyarakat tempatan. Cadar, sarung bantal, sarung kusyen, coir (lapik duduk pengantin) dan tepak sirih di antara barangan tekatan yang menjadi pilihan dalam majlis perkahwinan.

0 Komen:

Catat Ulasan