BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN PAHANG



Adiguru Natipah @ Nortipah Binti Abdul Kadir

Tenun Pahang Diraja antara tekstil keluaran tempatan yang sering mendapat perhatian. Kemahiran menenun ini dipercayai telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahun lampau. Puan Nortipah Abdul Kadir yang dilahirkan pada 8 November 1944 di Pulau Keladi di antara tokoh tenunan Pahang yang disegani. Beliau merupakan generasi ke 12 Keraing Aji (Tok Tuan) iaitu salah seorang pembesar Bugis yang berhijrah ke Pahang dan telah menghidup dan memajukan semula kegiatan menenun di kalangan masyarakat tempatan.

Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan Pekan. Puan Nortipah memperoleh kemahiran menenun ini sejak zaman remaja lagi. Minat yang mendalam menyebabkan beliau mudah menerima segala yang diajarkan. Sehingga kini beliau merupakan satu-satunya pewaris tenun sutera Pahang yang masih aktif. Beliau juga mahir menenun kain limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus dan juga membuat sulaman tekat gubah.

Kegigihan beliau yang tinggi dalam mempertahankan warisan tenunan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Pahang. Sebuah pusat kraftangan telah didirikan di Pulau Keladi yang terletak 5 km dari Bandar Pekan, Bandar Diraja. Beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan penenun yang menjalankan kegiatan mereka di pusat ini. Pusat kraftangan yang didirikan pada tahun 1980-an ini merupakan nadi tenunan yang terbesar di Pahang dan telah menyediakan peluang kepada penenun bekerja dan menjual hasil tenunan mereka.

Pada tahun 2006 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa.



Kraf Tenunan Pahang



Kemahiran menenun kain Tenun Pahang dibawa masuk dari riau atau Sulawesi pada abad ke 16. benang kapas dan sutera digunakan untuk menenun kain sarung atau sampin. Benang-benang diwarna menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti daun tarum (biru) kulit sepang (merah) dan kunyit (kuning). Buah belimbing dan asam gelugur dijadikan sebagai bahan untuk mematikan warna.



Ragam hias Tenun Pahang amat ringkas dan sederhana. Teknik ikat yang dipercayai menerima pengaruh dari Sulawesi dugubah mengikut cita rasa tempatan. reka corak berpetak atau berjalur kadangkala diselit dengan sedikit benang emas atau perak sebagai hiasan tambahan. Corak Muar yang lebih banyak menggunakan warna muda dan corak Bugis yang diragam hias dengan kotak-kotak kecil merupakan reka corak yang amat terkenal. Keistimewaan kain Tenun Pahang terletak pada reka corak yang kebiasaannya dinamakan bersempena dengan nama pemakainya seperti corak Tun Razak, Tok Puan Muda dan sebagainya.

0 Komen:

Catat Ulasan