DEMONSTRASI DAN INTERAKTIF KRAF SEMPENA PROMOSI KRAF SERAMIK

Promosi Kraf Seramik 2010

Pada 24 hingga 29 November 2010 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Aktiviti : Demonstrasi Cara Pembakaran Labu Sayong

BENGKEL BATIK DAN ANYAMAN ROTAN BERSAMA GURU-GURU PENDIDIKAN KHAS




























Tarikh : 22 hingga 24 November 2011



Tempat Aktiviti : Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional



Peserta : Guru-guru Pendidikan Khas Seluruh Negara

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TEKATAN BENANG EMAS



Adiguru Hajah Azizah Binti Mohd Yusof

Bandar Diraja Kuala Kangsar, amat sinonim dengan seni tekatan benang emasnya. Di sinilah menetapnya tokoh tekatan yang disegani iaitu Puan Hajah Azizah Mohd Yusof. Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan di Sekolah Perempuan Methodist sehingga darjah enam. Lahir di kalangan keluarga yang mahir menekat. Ibu dan nenek beliau merupakan tukang tekat terkenal di daerah Kuala Kangsar ketika itu dan sering menerima tempahan dan di sinilah bermulanya kerjaya beliau sebagai tukang tekat.

Hasil kerja tangan beliau yang sering mendapat perhatian adalah peralatan dan kelengkapan perkahwinan seperti cadar, sarung bantal, hiasan kelambu, lemudi, hiasan pelamin, pakaian pengantin serta cenderamata lainnya.


Beliau sering dijemput bagi mengadakan pameran dan demonstrasi sama ada di dalam atau di luar negara. Pada tahun 1984 Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membawa beliau ke Tokyo, Jepun untuk mempamerkan dan mempromosi tekatan benang emas. Manakala pada tahun 1985 beliau menjadi johan pertandingan menekat benang emas yang dianjurkan oleh PUSPANITA Kuala Kangsar.


Bagi memastikan seni warisan ini terus berkembang, beliau memberi tunjuk ajar kepada kumpulan pelapis dari seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, KEMAS dan Kraf tangan Malaysia.
Kraf tangan Malaysia memberi pengiktirafan kepada beliau sebagai ADIGURU KRAF TEKATAN pada tahun 1995 bagi menghargai jasa dan sumbangannya terhadap perkembangan seni warisan tekatan.

Tekatan

Seni tekatan diperkenalkan di negara ini pada era kegemilangan pemerintahan Melaka sekitar abad ke 15 Masihi. Dipercayai seni sulaman benang emas ini menerima pengaruh dari India dan China. Manakala ragam hiasnya pula dikatakan mirip seni hiasan eksklusif orang Arab dahulu kala. Seni ini amat terkenal terutama di Perak dan Selangor.


Benang emas disulam atau ditekat di atas kain baldu. Setiap ragam hias diisi dengan mempulur yang diperbuat daripada rotan sega atau kertas keras untuk menampakkan kesan timbul pada tekatan tersebut. Ilham cipta dalam menghasilkan ragam hias tekatan dipengaruhi unsur-unsur geometrik dan awan larat. Tekatan benang emas mendapat tempat istimewa dalam masyarakat tempatan. Cadar, sarung bantal, sarung kusyen, coir (lapik duduk pengantin) dan tepak sirih di antara barangan tekatan yang menjadi pilihan dalam majlis perkahwinan.

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN PAHANG



Adiguru Natipah @ Nortipah Binti Abdul Kadir

Tenun Pahang Diraja antara tekstil keluaran tempatan yang sering mendapat perhatian. Kemahiran menenun ini dipercayai telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahun lampau. Puan Nortipah Abdul Kadir yang dilahirkan pada 8 November 1944 di Pulau Keladi di antara tokoh tenunan Pahang yang disegani. Beliau merupakan generasi ke 12 Keraing Aji (Tok Tuan) iaitu salah seorang pembesar Bugis yang berhijrah ke Pahang dan telah menghidup dan memajukan semula kegiatan menenun di kalangan masyarakat tempatan.

Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan Pekan. Puan Nortipah memperoleh kemahiran menenun ini sejak zaman remaja lagi. Minat yang mendalam menyebabkan beliau mudah menerima segala yang diajarkan. Sehingga kini beliau merupakan satu-satunya pewaris tenun sutera Pahang yang masih aktif. Beliau juga mahir menenun kain limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus dan juga membuat sulaman tekat gubah.

Kegigihan beliau yang tinggi dalam mempertahankan warisan tenunan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Pahang. Sebuah pusat kraftangan telah didirikan di Pulau Keladi yang terletak 5 km dari Bandar Pekan, Bandar Diraja. Beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan penenun yang menjalankan kegiatan mereka di pusat ini. Pusat kraftangan yang didirikan pada tahun 1980-an ini merupakan nadi tenunan yang terbesar di Pahang dan telah menyediakan peluang kepada penenun bekerja dan menjual hasil tenunan mereka.

Pada tahun 2006 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa.



Kraf Tenunan Pahang



Kemahiran menenun kain Tenun Pahang dibawa masuk dari riau atau Sulawesi pada abad ke 16. benang kapas dan sutera digunakan untuk menenun kain sarung atau sampin. Benang-benang diwarna menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti daun tarum (biru) kulit sepang (merah) dan kunyit (kuning). Buah belimbing dan asam gelugur dijadikan sebagai bahan untuk mematikan warna.



Ragam hias Tenun Pahang amat ringkas dan sederhana. Teknik ikat yang dipercayai menerima pengaruh dari Sulawesi dugubah mengikut cita rasa tempatan. reka corak berpetak atau berjalur kadangkala diselit dengan sedikit benang emas atau perak sebagai hiasan tambahan. Corak Muar yang lebih banyak menggunakan warna muda dan corak Bugis yang diragam hias dengan kotak-kotak kecil merupakan reka corak yang amat terkenal. Keistimewaan kain Tenun Pahang terletak pada reka corak yang kebiasaannya dinamakan bersempena dengan nama pemakainya seperti corak Tun Razak, Tok Puan Muda dan sebagainya.

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN PUA



Adiguru Bangie A/K Embol

Sarawak terkenal dengan tenunan pua kumbu dan salah seorang tukang tenun yang gah namanya dalam bidang ini ialah Puan Bangie a/k Embol. Dilahirkan pada tahun 1945, dan mewarisi kemahiran menenun pua sejak usia remaja. Beliau mampu mencipta reka corak dan motif yang mempunyai nilai-nilai estetika tersendiri. Antara motif-motif tenun pua beliau adalah bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut. Kelaianan kain pua tenunan beliau adalah pada ragam hias yang dihasilkan. Setiap kehendak pelanggan diterjemah ke dalam rekaan yang kadang kala menggabungkan reka corak tradisional dan kontemporari.

Kepakaran beliau menenun pua ini telah membawanya menjelajah ke luar negara bagi mempromosi dan mempamerkan seni Tenun etnik Sarawak . Antara pameran yang pernah di sertai seperti di Sweden, Paris, Bangkok, Manila dan Singapura. Pada tahun 1998 beliau memenangi tempat pertama bagi kategori kraf dalam pertandingan Natural Dye Weaving anjuran UNESCO. Lain-lain pertandingan yang disertai adalah pertandingan WICITRA (1990) anjuran Krafangan Malaysia dan pertandingan The State Wide Pua Kumbu (1998) anjuran Tun Jugah Foundation.

Bagi memastikan seni tenunan pua terus terpelihara dan berkembang, beliau menjadi jurutunjuk khususnya kepada generasi muda. Beberapa siri bengkel, kursus dan kelas bimbingan dikendalikan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan juga beberapa pertubuhan tempatan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang. Beliau telah dilantik sebagai ADIGURU KRAF TENUN PUA pada tahun 2000 oleh Kraftangan Malaysia.

Kraf Tenunan Pua

Inspirasi dari mimpi dan kepercayaan menghasilkan keunikan reka corak tenunan pua. motif tumbuh-tumbuhan dan lambang makhluk seperti cicak (engkarong), buaya, manusia (engkaramba) memaparkan keistimewaan reka corak tradisi tenunan pua. kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, menterjemah keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua.