BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN SONGKET



Tokoh Kraf Negara Hajah Habibah Zikri



Hajah Habibah Zikri satu nama besar yang turut mewarnai indusri songket negara. Lahir pada 5 Februari 1948 di Sungai Petani, Kedah Darul Aman di tengah-tengah keluarga yang besar. Anak ketiga daripada sembilan adik beradik yang terdiri daripada dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan ini amat meminati seni.


Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Sungai Petani dan kemudian meneruskan pengajian dalam jurusan tekstil pada tahun 1971 di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA. Di sinilah beliau mendalami bidang seni khususnya dalam bidang tekstil. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1974, beliau ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan.


Pucuk dicita ulam mendatang, ilmu yang diperolehi di menara gading diaplikasikan dalam bidang tugas yang telah diamanahkan. Semasa di Kraftangan Malaysia beliau terus mendalami bidang tenunan khususnya songket. Sebagai pereka, beliau sering turun padang melihat dan berjumpa sendiri pengusaha-pengusaha songket. Beliau mendalami ilmu tenunan dengan turut serta melakukan proses dan kerja-kerja menyongket dari awal sehingga akhir. Di hatinya telah tersemat azam bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi pengusaha songket yang berjaya. Rumah tangga yang dibina bersama Encik Shamsul Baharin Abdul Mutalib dikurniakan dengan tiga orang cahayamata. Minat dan cita-cita dikongsi bersama suami dan keluarga.
Setelah sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, beliau meletakkan jawatan dan mengusahakan tenunan songket dan cita-cita beliau mendapat sokongan daripada suami serta keluarga. Berbekalkan bakat serta kemahiran sebagai pereka, Puan Habibah memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket.


Setelah lebih daripada 33 tahun menceburi bidang Tenunan songket, Puan Hajah Habibah telah meletakkan namanya sebagai penenun yang terkenal dan disegani di negara ini. Hasil ciptaan kreatif beliau telah menyemarakkan semula industri songket negara.
Banyak kejayaan yang diraih beliau sepanjang tempoh mengusahakan tenunan songket. Pada tahun 1987 beliau menerima Anugerah - The Best Traditional Textile ASEAN di Jakarta. Beliau turut menerima Anugerah Seni Tampak pada tahun 2002.
Bibah Songket merupakan mercu tanda kejayaan Puan Habibah. Seramai 50 orang penenun songket bernaung di bawahnya, membantu beliau menghasilkan songket yang yang halus, cantik dan berkualiti.


Songket rekaan beliau turut dijadikan sebagai setem pos kenang-kenangan sempena pelancaran Songket Seni Warisan Agong bersama-sama TV 3 dan Pos Malaysia pada tahun 2004.

Kraf Tenunan Songket


Songket adalah antara tekstil tenun tradisional yang giat diusahakan di Kelantan dan Terengganu. Benang emas atau perak yang dililit pada cuban (sebagai benang pekan) disulam atau disungkit melintang di celah benang loseng lalu menghasilkan ragam hias atau reka corak pada kain yang ditenun. Kain ini juga dikenali sebagai songket cuban atau berpakan emas. Songket anggun dipakai dengan baju kurung atau kebaya panjang yang dilengkapi dengan selendang atau kain kelubung. Selain daripada itu, songket turut dipakai sebagai samping, tengkolok atau bengkung.

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN ASLI SABAH (RUNGUS)


Adiguru Rubangki Binti Mabok

Dilahirkan pada tahun 1941 di kampung Guamon, Kudat, Sabah. Dibesarkan dalam keluarga petani dan mempelajari kemahiran menenun daripada ibunya sejak beliau masih remaja lagi. Asal kapas menjadi benang, dari benang ditenun dibuat kain, begitulah bidalan yang dipraktikkan oleh Puan Rubangki dalam usaha meneruskan kegiatan menenun kain rungus ini. Beliau memintal dan menghasilkan sendiri benang untuk kerja-kerja menenun. Pokok kapas yang hidup subur di sekitar kampung beliau ketika itu menjadi sumber utama untuk mendapatkan benang.


Setelah berkahwin Puan Rubangkiterus melakukan kerja-kerja menenun bagi membantu menambah pendapatan suami. Suami beliau banyak membantu mengutip kapas-kapas dan kemudian dibawa pulang untuk diproses dan dipintal menjadi benang.
Sebelum warna tiruan diperkenalkan, Puan Rubangki menggunakan bahan semula jadi untuk mewarna benang. Kesungguhan beliau mengusahakan tenun ini menjadi contoh kepada penduduk setempat. Kai tenun rungus biasanya dijadikan pakaian yang dilengkapi dengan hiasan lain seperti selendang atau manik-manik. Ia dipakai semasa majlis perayaan, perkahwinan atau upacara-upacara adat yang disambut oleh suku kaum Rungus.


Dalam mematikan seni warisan ini terus berkembang, beliau menurunkan kemahiran menenun kain Rungus ini kepada anak perempuan beliau sendiri dan juga penenun-penenun muda yang tinggal di sekitar daerah Kudat. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau mengembangkan seni tenun Rungus, pada tahun 1990 Kraf tangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf tenun Rungus.

Tenunan Asli Sabah (Rungus)


Tenunan warisan Rungus memaparkan keunikan motif dan kemahiran menenun yang mempunyai hubungkait dengan alam sekitar seperti flora dan auna. Pakaian tradisi ini melambangkan peradaban masyarakat Rungus.

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF TENUNAN MUGAH

Adiguru Puan Sabnah Binti Dullah



Kain tenun mugah, di antara kain tenunan etnik masyarakat Sabah yang amat sinonim dengan suku kaum Irranun dan Rungus. Kain benang kapas ini menjadi pakaian kebesaran suku kaum Rungus terutama semasa majlis perkahwinan, hari perayaan atau semasa upacara adat yang lainnya. Manakala suku kaum Irranun pula bertanggungjawab menenun dan menjadi pembekal kain tenun mugah.


Di antara penenun kain mugah yang disegani adalah Puan Sabnah Dullah. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 di kampung merabau, kota Belud, Sabah dan dibesarkan dalam keluarga yang mahir menenun. Sejak berusia 10 tahun, beliau diajar menenun oleh ibu dan neneknya. Dengan kemahiran menenun ini, beliau menyara enam orang adik-beradik selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.


Setiap helai kain tenun mugah yang beliau hasilkan dihiasi dengan reka corak yang tersendiri. Alam semula jadi seperti flora dan fauna, corak-corak geometrik dan unsur kosmos diadun menjadi reka corak kain tenunan beliau. Antara reka corak yang dihasilkan seperti anunon, tuara, bakaki, bunga emas, tialali, lincu, siku keluang dan sunding yang kemudiannya menjadi ikutan penenun-penenun kain mugah di sekitar Kampung Merabau.



Kepakaran Puan Sabnah salam menghasilkan kain tenun mugah telah menempatkan beliau sebagai salah seorang penenun kain mugah yang handal dan disegani terutama di sekitar Kota Belud. Bagi memastikan seni kemahiran tangan ini tidak pupus, beliau memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda di sekitar Kampung Merabau. Kegigihan dan kepakaran beliau ini dijejaki oleh Kraftangan Malaysia dan telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf tenun Mugah pada tahun 2002. Skim latihan yang lebih terancang diatur oleh Kraftangan Malaysia dan beliau telah dilantik sebagai juru tunjuk dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi tenunan kain mugah.

Tenunan Mugah


Kepakaan terhadap persekitaran terutama alam semula jadi menghasilkan corak menarik pada kain mugah dan menjadikan kain tenunan tangan ini kebanggaan dan kesenian masyarakat Irranun. Kepakaran penenun terpamer melalui kemahiran menyulam reka corak dan motif di antara benang dan loseng.

BENGKEL BICARA WARISAN - KRAF SULAMAN NYONYA


Adiguru Lim Swee Kim


Sulaman Nyonya kebiasaannya menghiasi baju kebaya yang menjadi pakaian wanita keturunan Baba. Kehalusan sulaman berwarna ini dihiasi dengan pelbagai reka corak yang terdiri daripada flora dan fauna. Salah seorang pakar sulaman ini ialah Puan Lim Swee Kim yang dilahirkan di Kelantan pada 17 Jun 1933. Setelah berkahwin beliau menetap di Pulau Pinang dan mengusahakan sulaman bagi menambah pendapatan keluarga. Mula mempelajari seni sulaman sejak beliau berusia lapan tahun. Kepakaran menyulam diwarisi daripada ibunya. Beliau menguasai kemahiran menyulam pada usia 15 tahun dan sejak itu beliau menceburi bidang ini secara sepenuh masa.


Dengan menggunakan mesin jahit kaki, beliau menyiapkan tempahan baju, cheongsam dan kebaya bersulam mengikut kehendak pelanggan. Sepanjang tempoh penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 rekaan motif yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga, binatang, buah-buahan dan juga abstrak.
Beliau turut memberikan latihan dan bimbingan kepada kumpulan pelapis bagi mengekalkan seni warisan ini. Pelatih beliau terdiri daripada beliawanis yang datang dari seluruh negara. Selama lebih empat dekad beliau telah melatih lebih daripada 50 pelajar dan ada di antara mereka yang telah menjadi pengusaha sulaman.

Beliau juga pernah memberi tunjuk ajar sulaman kepada pelajar dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Mongolia, Afrika can Amerika Syarikat. Pada tahun 2004 beliau telah menerima seorang pelatih dari Amerika Syarikat yang berjaya menguasai kemahiran menyulam dalam masa dua minggu. Dr. Jesicca Krakow belajar selama lapan jam setiap hari dengan bimbingan Puan Lim. Beliau berjaya menyulam sehelai baju kebaya sebelum berlepas pulang ke Amerika Syarikat.
Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Sulaman Nyonya pada tahun 2006 oleh Kraftangan Malaysia bagi menghargai sumbangan yang diberikan.




Kraf Sulaman Nyonya


Sulaman kerawang, seni hiasan tekstil menggunakan benang-benang berwarna. Pilihan reka corak yang sesuai dilukis pada permukaan kain sebelum disulam. Motif-motif tumbuh-tumbuhan dan unggas direka halus menjadi ragam hias yang disulam di atas permukaan kain-kain kapas atau kasa rubia. Antara produk yang dihiasi dengan sulaman kerawang seperti kebayan, alas meja, sarung kusyen, cadar dan sarung bantal.