MAJLIS MENANDATANGAN DAN PENYERAHAN WATIKAH PERLANTIKAN ADIGURU KRAF

ASAJAYA, 19 JANUARI 2015 - Kraftangan Malaysia  agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf. Majlis disempurnakan oleh Puan Ruslah Binti Khalid, Pengarah Bahagian Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia bertempat di Kampung Semera, Sadong Jaya.
Hadir sama ialah Yang Berhormat Ir. Aidel Lariwoo, Adun Sadong Jaya dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Encik Azran bin Arip. 
Majlis pada hari ini, menyaksikan Puan Ngot Binti Bi, usahawan kraf Anyaman Tikar Bergerang dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2014.
Penghargaan kepada Adiguru Kraf diberikan kepada Adiguru kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh setelah mereka menepati kriteria-kriteria iaitu:
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.
  • Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan.
  • Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan.
  • Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan. 
Menerusi perlantikan ini, Adiguru Kraf yang dilantik menikmati pemberian wang saguhati berjumlah RM5,000.00 serta menerima elaun bulanan RM500.00 sebulan mulai bulan Januari 2015.

Jumlah keseluruhan Adiguru Kraf termasuk perlantikan kedua-dua Adiguru Kraf sehingga 2014, kini berjumlah seramai 51 orang sejak mula diperkenal pada tahun 1987. Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut seramai 18 orang Adiguru Kraf sudah meninggal dunia.
 
Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah serta para tetamu kemudiannya meneruskan lawatan ke Pameran Produk Adiguru yang dipamerkan di bengkel.
 
Puan Ruslah mewakili Dato Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia menyempurnakan Majlis Menandatangan Penyerahan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf 2014
 
Penyerahan Watikah dan Mock-Up Cek wang ganjaran Adiguru Kraf 2014
 
Cenderamata kepada Yang Berhormat Ir. Aidel Lariwoo, Adun Sadong Jaya yang disampaikan oleh Pengarah Kraftangan Cawangan Sarawak  Encik Azran bin Arip
 
Makcik Ngot binti Bi sedang ditemubual oleh wartawan dari RTM
 
Sidang Media juga diadakan bersama dengan Puan Ruslah, Encik Azran, Yang Berhormat Ir. Aidel Lariwoo serta Adiguru Ngot Binti Bi
 
Barisan Urusetia yang telah menjayakan Majlis Adiguru Kraf 2014