BICARA PUISI TRADISIONAL REJANG


KUALA LUMPUR 16 Julai - Puisi rejang yang merupakan salah satu genre dalam kesusasteraan tradisional Melayu amat popular satu ketika dulu tetapi kini ia hampir dilupakan. Menyedari hakikat itu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini menganjurkan program Bual Bicara Puisi Tradisional - Rejang bersempena Festival Kuala Lumpur 2009. Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar berkata, pada dasarnya rejang dapat dianggap sebagai genre puisi yang tersendiri yang dilahirkan oleh masyarakat untuk memberi nasihat, ajaran akhlak dan sebagai pengajaran. Beliau berkata, PNM telah mengambil inisiatif menganjurkan program bual bicara itu dengan harapan pembicara akan dapat berkongsi pandangan dan maklumat dengan masyarakat yang kini semakin melupai dunia puisi tradisional Melayu. ''Rejang mungkin satu nama yang janggal bagi masyarakat kini, malah ada segelintir generasi baru sama sekali tidak mengenali asal usul dan cara melagukan puisi tersebut,'' katanya ketika berucap merasmikan program Bual Bicara Puisi Tradisional - Rejang di sini hari ini. Katanya, rejang seolah-olah kehilangan maknanya kini sama ada sebagai hiburan, pendidikan dan pengukuhan sistem kekerabatan seperti kedudukannya dalam masyarakat tradisional dahulu. Seramai 250 peserta menghadiri program tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Menurut Raslin, jumlah khalayak yang meminati genre puisi itu masih terlalu kecil jika ia dibandingkan dengan hiburan popular yang jauh berkembang pesat di Malaysia dan Nusantara hari ini. ''Sesuatu perlu dilakukan dengan gigih serta berkesan oleh pihak yang berkenaan supaya rejang terus kekal bersaing di tengah-tengah suburnya pelbagai kesenian puisi tradisional dan juga hiburan masa kini,'' ujarnya.

0 Komen:

Catat Ulasan