BICARA TOKOH BERSAMA ADIGURU DAN TOKOH KRAF NEGARA

Bicara Tokoh Bersama Hajah Azizah Binti Mohd Yusof (Adiguru Kraf Tekatan)

Bandar Diraja Kuala Kangsar, amat sinonim dengan seni tekatan benang emasnya. Di sinilah menetapnya tokoh tekatan yang disegani iaitu Puan Hajah Azizah Mohd Yusof. Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan di Sekolah Perempuan Methodist sehingga darjah enam. Lahir di kalangan keluarga yang mahir menekat. Ibu dan nenek beliau merupakan tukang tekat terkenal di daerah Kuala Kangsar ketika itu dan sering menerima tempahan dan di sinilah bermulanya kerjaya beliau sebagai tukang tekat.

Hasil kerja tangan beliau yang sering mendapat perhatian adalah peralatan dan kelengkapan perkahwinan seperti cadar, sarung bantal, hiasan kelambu, lemudi, hiasan pelamin, pakaian pengantin serta cenderamata lainnya.

Beliau sering dijemput bagi mengadakan pameran dan demonstrasi sama ada di dalam atau di luar negara. Pada tahun 1984 Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membawa beliau ke Tokyo, Jepun untuk mempamerkan dan mempromosi tekatan benang emas. Manakala pada tahun 1985 beliau menjadi johan pertandingan menekat benang emas yang dianjurkan oleh PUSPANITA Kuala Kangsar.

Bicara Tokoh Bersama Adiguru Puan Lim Swee Kim (Kraf Sulaman Nyonya)

Sulaman Nyonya kebiasaannya menghiasi baju kebaya yang menjadi pakaian wanita keturunan Baba. Kehalusan sulaman berwarna ini dihiasi dengan pelbagai reka corak yang terdiri daripada flora dan fauna. Salah seorang pakar sulaman ini ialah Puan Lim Swee Kim yang dilahirkan di Kelantan pada 17 Jun 1933. Setelah berkahwin beliau menetap di Pulau Pinang dan mengusahakan sulaman bagi menambah pendapatan keluarga. Mula mempelajari seni sulaman sejak beliau berusia lapan tahun. Kepakaran menyulam diwarisi daripada ibunya. Beliau menguasai kemahiran menyulam pada usia 15 tahun dan sejak itu beliau menceburi bidang ini secara sepenuh masa.

Dengan menggunakan mesin jahit kaki, beliau menyiapkan tempahan baju, cheongsam dan kebaya bersulam mengikut kehendak pelanggan. Sepanjang tempoh penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 rekaan motif yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga, binatang, buah-buahan dan juga abstrak.

Beliau turut memberikan latihan dan bimbingan kepada kumpulan pelapis bagi mengekalkan seni warisan ini. Pelatih beliau terdiri daripada beliawanis yang datang dari seluruh negara. Selama lebih empat dekad beliau telah melatih lebih daripada 50 pelajar dan ada di antara mereka yang telah menjadi pengusaha sulaman.

Beliau juga pernah memberi tunjuk ajar sulaman kepada pelajar dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Mongolia, Afrika can Amerika Syarikat. Pada tahun 2004 beliau telah menerima seorang pelatih dari Amerika Syarikat yang berjaya menguasai kemahiran menyulam dalam masa dua minggu. Dr. Jesicca Krakow belajar selama lapan jam setiap hari dengan bimbingan Puan Lim. Beliau berjaya menyulam sehelai baju kebaya sebelum berlepas pulang ke Amerika Syarikat.

Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Sulaman Nyonya pada tahun 2006 oleh Kraftangan Malaysia bagi menghargai sumbangan yang diberikan.

Bicara Tokoh Bersama Tokoh Kraf Negara Puan Hajah Zainab @ Ngah Binti Mamat (Kraf Tenunan Songket)

Dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Ketika itu Negara sedang di bawah jajahan tentera Jepun. Dalam keadaan yang serba kekurangan pasangan Che Mamat dan Mariam tetap menerima kehadiran puteri kedua mereka dengan penuh kesyukuran.

Kepayahan dan keperitan hidup akibat jepun rupa-rupanya menjadi pendorong kepada penduduk kampong ini untuk membina kerjaya khususnya dalam bidang tenunan. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita termasuk keluarga Mariam. Pendapatan hasil menenun ini sedikit sebanyak membantu suaminya menyara tujuh orang anak yang masih kecil.

Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan jururawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya. Minat, semangat dan kesungguhan akur dengan keputusan yang diambilnya untuk menjadikan tenunan songket sebagai mata pencarian.

Selama penglibatan dalam bidang tenunan ini, beliau banyak berurusan dan menerima bantuan daripada badan-badan yang berkaitan dengan kraftangan antaranya Kraftangan Malaysia dan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. Sokongan dari mereka turut menjadi pemangkin terhadap kerjaya beliau. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau ,pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.


Bicara Tokoh Bersama Adiguru Encik Salleh Bin Mohd (Adiguru Kraf Pertukangan Tembaga)

Encik Salleh bin Mohd merupakan adiguru kraf yang terlibat dalam kraf pertukangan tembaga. beliau mendapat pendidikan formal sehingga sekolah menengah. Minat yang mendalam dalam perusahaan kraf tembaga membuatkan beliau menghabiskan masa di bengkel bapanya dalam mempelajari seni pertukangan kraf tradisional ini. Hasil didikan dan kemahiran yang diperturunkan oleh arwah ayahandanya Encik Mohd Bin Yusof, beliau dikenali antara tukang kraf tembaga yang mahir dalam bidang seni pertukangan kraf tembaga di Negeri Terengganu.

Dalam penghasilan produk kraf tembaga beliau memilih dan mengubah reka corak berunsurkan motif flora kemudian disesuaikan dengan bentuk produk kraf yang dihasilkan mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. antara karya seni beliau yang sering mendapat tempahan adalah seperti Sarang Bauru, Kebak Laksa, Kualai Tembaga dan Par/Dulang Hantaran.

Sepanjang pengalaman beliau dalam penghasilan kraf tembaga, beliau banyak membantu mempromosikan barangan kraf tembaga dengan menyertai beberapa siri pameran dan jualan di dalam negara seperti Promosi Kraf Malaysia di PWTC pada tahun 2007, Promosi Kraf Malaysia di Kota Kinabalu pada tahun 2006 dan Promosi Kraf Malaysia di Kompleks Kraf KL pada tahun 2006.

0 Komen:

Catat Ulasan