MAJLIS MENANDATANGANI DAN PENYERAHAN WATIKAH PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 2013

KUALA TERENGGANU, 12 NOVEMBER 2013 - Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangan Dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2013. Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.

Terdahulu menyambut kehadiran tetamu kehormat ialah Encik Mohd Latif Dirun, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan Encik Zainal Abidin Che Pa, Pengarah Bahagian Pemuliharaan Kraftangan Malaysia (Ibu Pejabat).

Pada majlis ini, seorang usahawan kraf pembuatan bot tradisional dari Negeri Terengganu diberikan penghormatan dan dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2013 iaitu Encik Hasni bin Ali. Beliau merupakan seorang usahawan kraf dari Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu yang sudah 25 tahun bergiat aktif dalam pembuatan bot tradisional.

Bagi tahun 2013, seramai 3 orang usahawan kraf akan dilantik sebagai Adiguru Kraf, di mana pada 4 ovember 2013 yang lalu telah diadakan Majlis Pelantikan Adiguru Kraf Tembikar (Labu Sayong) di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Manakala satu lagi majlis pelantikan Adiguru Kraf Sulaman Kelingkam akan menyusul di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Ketiga-tiga Perlantikan Adiguru Kraf ini akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 - 31 Disember 2018.

Perlantikan Adiguru Kraf diberikan kepada usahawan kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara.

Bagi tujuan tersebut, Adiguru Kraf yang dilantik akan memainkan peranan menjadi sebagai pakar rujuk, tenaga pengajar kepada Kraftangan Malaysia dengan mencurahkan pengalaman dan kepakaran masing-masing kepada kumpulan pelapis.


Melalui perlaksanaan Skim Adiguru Kraf ini, setiap Adiguru Kraf yang dilantik akan menerima ganjaran berbentuk watikah penghargaan, wang tunai berjumlah RM5,000.00 dan elaun bulanan RM500.00 sebulan.

Proses Menandatangan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf
Penyerahan Watikah Pelantikan dan Wang Ganjaran
Ditemuramah oleh Wakil Media

0 Komen:

Catat Ulasan